SYURGA
adalah untuk lelaki dan wanita yang beriman, taat kepada semua perintah
Alah SWT, mencintai Allah dan Rasulullah saw melebihi segala-galanya di
dunia ini.Gerangan wanita ahli syurga yang dijanjikan Allah SWT.
Rasulullah saw menerangkan, tiga wanita yang akan bersama-samanya di syurga ialah sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis berikut:
1. Daripada Aishah ra: "Aku tidak berasa cemburu kepada mana-mana isteri Rasulullah saw sebagaimana aku mencemburui Khadijah ra,
meskipun beliau telah meninggal dunia ketika Baginda mengahwiniku. Aku
selalu mendengar Rasulullah saw menyebut hal Khadijah, dan Allah SWT
telah memberitahu Baginda bahawa Allah telah membina sebuah istana
bernama Qasab (yang diperbuat daripada batu permata dan mutiara di
syurga), dan apabila Baginda menyembelih kambing, Baginda akan
mengirimkan bahagian-bahagian kambing itu kepada rakan Khadijah. (Hadis
al-Bukhari)
Daripada Ismail RA berkata,
"Aku bertanya kepada Abdullah bin Abi Aufa, Adakah Rasulullah memberi
naungan kepada Khadijah? Beliau menjawab, Ya, iaitu istana Qasab di
syurga di mana keadaannya sangat menyelesakan dan mendamaikan sekali."
(Hadis riwayat al-Bukhari).
Daripada
Abu Hurairah berkata, "Jibrail as datang kepada Rasulullah saw dan
berkata, Wahai Rasulullah! Ini Khadijah datang menemuimu dengan membawa
sup daging (atau makanan dan minuman). Apabila dia mendekatimu,
sampaikan salam Tuhannya (Allah) kepadanya dan dariku, dan berilah
naungan sebuah istana Qasab di syurga yang di dalamnya sangat indah dan
menggembirakan." (Hadis al-Bukhari).
2.
Daripada Ata bin Abi Rabah. "Berkata Abbas kepadaku, Mahukah aku
tunjukkan seorang wanita syurga kepadamu? Kataku, Ya. Dia berkata, Wanita hitam
ini datang menemui Rasulullah saw dan berkata, Ya Rasulullah, aku
menghidap sejenis sawan yang menyebabkan auratku terbuka, doakanlah
untukku ya Rasulullah. Rasulullah berkata kepadanya, Jika kamu mahu,
bersabarlah dan kamu akan masuk syurga; dan jika kamu mahu, Aku akan
meminta Allah menyembuhkan penyakitmu itu. Wanita itu berkata, Aku akan
terus bersabar. Dan dia menambah, Tetapi auratku akan terdedah
kerananya, jadi mintalah kepada Allah untukku agar auratku terpelihara. Rasulullah pun mendoakannya untuk itu."
3.
Daripada Jabir bin Abdullah berkata, Rasulullah saw bersabda, "Aku
melihat diriku (di dalam mimpi) memasuki syurga, dan berhenti! Aku
melihat ar-Rumaisa, isteri kepada Abu Talhah. (Hadis riyawat al-Bukhari)
Cuba
kita renungkan daripada ketiga-tiga contoh wanita syurga ini. Bagaimana
mereka boleh terpilih menjadi ahli syurga, bagaimana cara kehidupan
mereka, kelakuan, cara mereka bercakap, berpakaian dan sebagainya yang
sepatutnya menjadi contoh kepada semua wanita yang mahukan balasan
syurga.
Wanita
berkulit hitam yang disebut di dalam hadis di atas tidak diketahui
namanya, dari mana asalnya. Cuma yang diketahui adalah amalannya,
keimanannya, sifat malunya, harga dirinya, kebimbangannya mengenai
auratnya yang terdedah apabila diserang penyakit sawan yang dihidapinya
dan itulah yang membawanya menjadi ahli syurga.
Beliau
ini menghidapi penyakit dan dia datang kepada Rasulullah saw minta
didoakan penyakitnya sembuh. Dia tahu, kuasa penyembuhan adalah daripada
as-Shaafee hanyalah Allah SWT. Dan Allah mengabulkan setiap doa
Rasulullah saw.
Bagaimanapun, dia memilih untuk tetap sabar dan menderita di dunia untuk mendapatkan ganjaran syurga.
Ingatlah, iman + penderitaan + sabar adalah syurga balasannya.
Dia reda menahan penyakit yang dideritainya itu semata-mata
mengharapkan keredaan Allah SWT dan tidak sekali-kali menjadikan alasan
penyakitnya untuk melanggar perintah Allah SWT iaitu membiarkan auratnya
terbuka sewenang-wenangnya.
Begitu juga dengan wanita Muslim lain yang mungkin terpaksa berdepan dengan cabaran hidup dengan cara yang lain. Tidak kira siapa kita, sekiranya kita tetap pada jalan Allah, kita akan berhadapan dengan pelbagai dugaan, kesukaran kerana untuk mendapatkan syurga terpaksa melalui pelbagai rintangan. Tidak ada jalan mudah untuk mendapatkan syurga.
Seorang yang mengenali Allah dan Rasul-Nya, tidak akan ragu-ragu mengikut segala perintah-Nya.
Dia akan terus mengharungi cabaran, cubaan dan rintangan atas nama
Allah dan Rasul-Nya, semata-mata kerana rasa taat, kasih dan penuh yakin
pertolongan dari Allah akan tiba.
Seorang wanita Muslim wajib memakai tudung dan pakaian yang menutup aurat. Bukanlah
bermakna bertudung dengan hanya menutup kepala tetapi berpakaian ketat
dan sendat, jarang hingga menampakkan susuk tubuh, bergaul bebas,
bersenda gurau dan bertepuk tampar dengan lelaki bukan muhrim; tiada
rasa malu hingga menjejaskan maruah wanita Islam seluruhnya. Hijab yang sebenarnya itu membabitkan fizikal, moral dan rohani.
Wanita
yang disebut dalam ketiga-tiga hadis di atas ialah contoh wanita yang
menghambakan diri kepada Allah SWT, beriman dengan sebenar-benarnya,
ikhlas, muslimah, taat kepada Allah SWT dan Rasulullah saw, bijak dan
berfikiran jauh.
Jika wanita Muslim hari ini mahukan balasan syurga, contohilah Khadijah, wanita berkulit hitam dan ar-Rumaisa.
Tidak ada komentar :
Posting Komentar